Jenis Pelajar Untuk Dijadikan Sahabat (+TIPS)

“Antara istilah sahabat, kawan dan rakan yang manakah istilah yang tepat untuk menunjukkan hubungan yang paling kuat? “

Sahabat. Sahabat adalah istilah yang terbaik untuk menggambarkan individu yang sentiasa memahami dan memainkan peranan terpenting dalam mempengaruhi emosi dalam kehidupan seorang pelajar. Oleh itu, memilih sahabat adalah penting kerana ia secara tidak langsung boleh mempengaruhi cara pembelajaran, sikap dan sebagainya. Langkah pertama dalam memilih sahabat adalah mengenali beberapa jenis pelajar yang terdapat di dalam zaman persekolahan. Berikut merupakan beberapa jenis pelajar yang perlu dipilih untuk dijadikan sebagai sahabat.

Pelajar yang suka mendapat perhatian. Pelajar seperti ini akan melakukan sesuatu yang terlebih menonjol. Tidak dinafikan individu yang suka akan perhatian mempunyai ramai rakan berbanding individu biasa. Namun, sifat ini boleh mendatangkan ketidakselesaan kepada pelajar lain. Pelajar seperti ini lebih suka membuat sesuatu yang tidak dibuat oleh pelajar normal. Jika dipandang dari sudut buruknya, pelajar seperti ini boleh mendatangkan keburukan kerana ia akan mendorong kita untuk melakukan sesuatu di luar jangkaan. Manakala, secara baiknya ia boleh menjadikan kita lebih berani untuk melakukan sesuatu yang baru iaitu sesuatu yang belum pernah dilakukan orang lain dan seterusnya kita boleh menempah nama sehingga diketahui ramai.

Tips: Jadikan pelajar seperti ini sebagai semangat untuk kita lebih menonjol dengan bakat kita sendiri dan bukan menggunakan publisiti murahan yang boleh mendatangkan ketidakselesaan kepada individu lain.

Pelajar yang suka bertangguh. Sudah tidak asing untuk pelajar mendapat tugasan daripada guru. Terdapat beberapa pelajar yang suka menangguhkan tugasan yang diberikan. Mereka berbuat demikian dengan alasan tugasan yang diberi memerlukan masa yang sedikit untuk menyiapkannya. Pelajar seperti ini tidak sesuai untuk dijadikan sahabat kerana ia boleh menjadikan kita seorang yang tidak berdisiplin, bersifat sambil lewa dan tidak mempunyai kualiti di dalam pekerjaan yang dilakukan.

Tips: Elakkan mengambil pelajar seperti ini sebagai sahabat. Jadikan pelajar seperti ini sebagai batas sempadan supaya kita tidak terpengaruh dengan sifatnya.

Pelajar yang tidak menghormati peraturan. Pelajar seperti ini suka untuk melakukan kesalahan bagi mencabar pihak atasan. Selain itu, pelajar seperti ini selalunya mempunyai masalah keluarga yang tidak dapat diselesaikan. Oleh itu, mereka seperti memberontak. Mereka tidak menganggap sekolah adalah tempat untuk menuntut ilmu tetapi merupakan tempat untuk melempiaskan apa yang sedang dirasa dan melegakan tekanan yang membebani mereka.

Tips: Cuba dekatkan diri dengan golongan seperti ini untuk memperbaiki dan untuk menyedarkan kesilapan mereka. Namun jika merasakan diri mudah terpengaruh, elakkan dari daripada mendekati mereka.

Pelajar yang suka belajar. Pelajar seperti ini mempunyai dua kelas yang berbeza iaitu yang kedekut ilmu dan yang suka berkongsi. Kebanyakannya, pelajar seperti ini mempunyai prestasi akademik yang agak memberangsangkan. Jika pelajar tersebut kedekut, bermakna ia mahukan kejayaan hanya menjadi miliknya seorang. Namun untuk yang suka berkongsi, ia mahukan kejayaan yang dapat dikongsi bersama.

Tips: Jauhkan diri untuk bergaul dengan pelajar yang kedekut ilmu kerana ia akan melakukan sesuatu untuk menjatuhkan kita jika kita lebih berjaya. Namun, dekatkan diri dengan pelajar yang suka berkongsi. Jadikan “jatuh dan bangun” bersama.

Article From Syafinaz

Comments

comments